>

Breaking News for Amira

SEREMBAN: Negeri Sembilan bakal menjadi hab pengeluaran produk berteknologi tinggi aeroangkasa bagi rantau Asia Pasifik apabila projek pembinaan kilang Messier-Bugatti-Dowty di Sendayan Techvalley di sini, siap sepenuhnya pada 2015.
Projek bernilai berbilion ringgit oleh syarikat Perancis itu adalah bagi memenuhi keperluan pelanggannya di rantau ini selain melengkapkan pusat serupa yang ada di Perancis dan Amerika Syarikat.
Keyakinan terhadap potensi Negeri Sembilan, khususnya Sendayan, turut diperakui Perdana Menteri Perancis Jean-Marc Ayrault yang melawat tapak projek itu sempena lawatan kerja selama dua harinya ke negara ini.

Ayrault berkata lawatan kerja berkenaan merupakan sebahagian gerak kerja beliau dalam usaha meneliti pembangunan industri aeroangkasa yang semakin berkembang di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

"Saya menganggap syarikat ini (Messier-Bugatti-Dowty) memilih Malaysia sebagai kawasan baru untuk memperluaskan pasarannya di Asia Pasifik kerana negara ini stabil selain pertumbuhan kemajuan yang pantas dan memberangsangkan," kata beliau kepada pemberita selepas lawatan itu, yang diterjemahkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Messier-Bugatti-Dowty Vincent Mascre.

Lawatan beliau ke tapak itu turut diiringi Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ayrault berkata Perancis juga kini tidak hanya memfokuskan kepada pelaburan di negara-negara maju, sebaliknya akan memberikan keutamaan kepada rakan kongsi kelas pertengahan yang mampu membangun seperti Malaysia.

Sementara itu, Mohamad berkata kestabilan dan keamanan negara ini selain potensi yang dinamik telah menarik minat banyak pelabur luar seperti Messier-Bugatti-Dowty datang ke sini.

Katanya, syarikat tersebut sebenarnya sebelum ini telah meninjau beberapa negara lain namun memilih Malaysia dan Sendayan, Negeri Sembilan selepas menyaksikan perkembangan positif industri penerbangan awam di negara ini.

"Syarikat ini telah melabur lebih RM200 juta bagi fasa pertama dan akan diteruskan dalam fasa kedua dan ketiga dan saya berharap mereka akan berjaya beroperasi dengan baik di sini," katanya.

Messier-Bugatti-Dowty adalah anak syarikat Safran Group, syarikat antarabangsa Perancis yang menghasilkan komponen kapal terbang dan aeroangkasa.

Kilang syarikat itu di Sendayan Techvalley yang akan menghasilkan sistem brek karbon untuk kapal terbang termasuk model bagi Airbus dan Boeing, mula dibina pada suku keempat tahun lepas dan dijangka beroperasi awal tahun 2015. - Bernama

No comments:

Post a Comment

ans!!
Top
♪ヽ( ⌒o⌒)人(⌒-⌒ )v ♪This Blog is Protected. Copyright 2013 © Design By Amiraazid( 。・_・。)人(。・_・。 )